Home Page Image
Info >
Sesuai pada paparan 1024 x 768 pixels - IE 6.XX.
 

 PROGRAM PENGKAYAAN ILMU bersempena Sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-50 22/7/2007 - 26/8/2007

 Anjuran: Perpustakaan Awam Pontian

 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 07-12345678


Pelancongan

Muzium Bugis
Beliau pernah mendapat teguran kerana menamakan muziumnya dengan  nama etnik Bugis ini kerana majoritinya penduduk kampung Teluk Kerang ini adalah orang-orang keturunan Jawa. Bagaimanapun beberapa tokoh lain terutama yang berdarah Bugis mempertahankan tindakan beliau yang cuba mengetengahkan hasil budaya masyarakat Bugis yang merupakan penghijrah-penghijrah awal di beberapa tempat di daerah ini. Beliau juga mengharapkan bahwa akan ada di kalangan etnik Jawa mewujudkan muzium Jawa seperti yang dilakukannya. Adalah wajar bagi beliau menamakan muzium ini dengan mengaitkan etnik Bugis kerana beliau sendiri dari sebelah ayah berdarah Bugis dan mempunyai perkaitan dengan keluarga Diraja Johor yang juga berketurunan Bugis. Lebih dari itu barang-barang pameran dan artifek memang sebahagian besarnya adalah barang-barang yang digunakan oleh masyarakat Bugis seperti pakaian, senjata, pinggan mangkuk dan lain-lain seumapamanya.

Kegiatan Abdullah mengumpul artifek dan barang-barang lama bukan sahaja mendapat perhatian jabatan Belia dan Kebudayaan serta agensi pelancongan malah Yayasan Warisan Johor yang ditubuhkan pada tahun 1988. Yayasan ini adalah satu-satunya yayasan yang seumpamanya bertujuan untuk memelihara warisan sejarah dan budaya di Malaysia.

Muzium Nanas


Di Pontian selain dari Muzium Bugis Johor terdapat sebuah lagi muzium iaitu Muzium Nanas Johor di bawah kelolaan Jabatan Pertanian negeri dan daerah, Penempatan muzium ini di Pontian amat sesuai dan wajar dengan kedudukan daerah ini sebagai daerah tanaman dan pengeluaran nanas yang utama di Johor. Muzium ini terletak berhampiran dengan  pejabat Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) di Batu 32 Jalan Johor Pontian.

Pulau Pisang

Di Daerah Pontian terdapat dua buah pulau iaitu Pulau Kukup dan Pulau Pisang. Pulau Kukup terletak berhadapan dengan pelabuhan Kukup Laut di selatan daerah Pontian dan dipenuhi dengan hutan bakau yang agak luas. Pulau Pisang pula terletak di perairan Selat Melaka.Ia kelihatan jelas membiru dari pantai Pontian yang jauhnya kira-kira 9 batu nautika. Nama ‘Pisang’ ini berpunca dari banyaknya tanaman pokak pisang di pulau ini pada zaman dahulu.

            Menurut catatan sejarah, pada tahun 1873 di Johor terdapat 13 penempatan yang dijaga oleh Residen. Ketika itu dalam sistem pentadbiran di negeri Johor terdapat sistem Residen, Pesuruhjaya, Pegawai daerah dan Penghulu. Pulau-pulau di Selat Melaka seperti Kukup, Pulau pisang dan lain-lainnya dikawal oleh Penghulu Mirdang sebagai Residen. Bagaimanapun pada tahun 1885 Pulau Pisang yang terletak di perairan Selat Melaka turut digunakan oleh pihak berkuasa negeri Selat (Straits Settlement) yang berpangkalan di Singapura bagi mendirikan rumah api (Light House) untuk panduan kapal-kapal yang belayar melalui Selat Melaka.

            Oleh kerana Pulau Pisang agak luas, pihak gabenor Negeri Selat terpaksa berurusan dengan kerajaan Negeri Johor melalui Persuruhjaya Tanah dan Galian bagi memohon keizinan pembinaan rumah api ini. Satu perjanjian dengan Sultan Abu Bakar Johor juga dibuat. Seperti rumah api yang lain rumah api di Pulau Pisang, Pontian inipun ditadbir oleh pihak berkuasa Inggeris di Singapura. Keadaan ini berterusan sehinggalah Singapura menjadi sebahagian dari Malaysia pada tahun 1963 yang kemudiannya kerana sebab-sebab tertentu terpaksa dipisah dan dimerdekakan pada tahun 1965 dan seterusnya sehingga kini.

Pekerja-pekerja yang bertugas menjaga rumah api di Pulau Pisang adalah  didatangkan dari Singapura. Mereka bertugas secara giliran. Setiap kumpulan petugas akan bertugas untuk selama dua minggu. Penduduk Pulau Pisang tidak ramai. Cuma ada beberapa keluarga Melayu tinggal di pulau ini. Untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka menaiki bot ke Pontian Kecil atau Pontian Besar di Pontian yang jauhnya kira-kira 13 kilometer.

Demi untuk menjaga dan mengawasi perairan negara pencerobohan asing dan penyeludupan, kerajaan kini sedang merancang untuk membina Pangkalan Marin Mini di Pulau
Pisang ini.